Thursday, June 17, 2010

PAHANG KUASAI LAPANGSASAR

MELAKA - Pahang terus mengekalkan penguasaan mereka dalam menembak Sukan Malaysia (Sukma) XIII yang masuk hari keempat apabila berjaya menggondol dua emas daripada enam acara yang dipertandingkan di lapang sasar Pusat Sukan MBMB, semalam.

Kejayaan itu menjadi lebih manis buat skuad menembak Pahang apabila penembak elit kebangsaan, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim turut berjaya meleburkan rekod yang disandang Nur Suryani Mohd. Tabibi yang berusia lapan tahun pada Sukma Sabah.

Hanya dengan kelebihan satu mata, penembak kelahiran Kuantan itu secara tidak langsung memadamkan rekod Nur Suryani dari Perak yang juga penembak elit kebangsaan pada catatan 583 mata dalam acara 50 meter raifal tiga posisi individu wanita.

Malah, menerusi kejayaan itu juga, penembak berusia 21 tahun itu turut membantu dua rakannya, Aina Zahiran dan Faizaton Elmia Ahmad Kamal untuk meraih emas dalam acara 50m rifle tiga posisi berpasukan wanita (1695) sekali gus meleburkan rekod temasya dwi tahunan itu di Sabah pada 2002 (1678).

Menurut Nur Ayuni yang kali kedua menyertai Sukma, kejayaan merangkul dua emas itu sedikit sebanyak membantu Pahang untuk meraih 11 emas secara keseluruhan pada hari keempat kejohanan menembak Sukma ke-13 itu.
''Saya tidak sangka dapat memecahkan rekod tetapi sememangnya kami mensasarkan emas dalam acara ini.
''Tetapi apa yang paling menggembirakan saya adalah apabila kami berjaya melebihi sasaran lima emas yang disasarkan oleh Persatuan Menembak Pahang pada kejohanan ini," katanya.

Dalam pada itu, dua lagi rekod baru kejohanan turut dicatatkan menerusi acara 10m air pistol individu dan berpasukan lelaki.

Bagi acara 10m air pistol individu lelaki, penembak tuan rumah, Melaka, Jonathan Wong Guanjie beraksi cemerlang dengan meraih emas sekali gus mengukir rekod baru (570) bagi memperbaharui rekod, Afiq Alias (565) yang dicatatkan pada Sukma Kedah empat tahun lalu.

Untuk kategori berpasukan acara tersebut, trio Johor muncul sebagai pemenang pingat emas selepas berjaya mendapat kutipan mata 1677 sekali gus memadamkan rekod, pasukan Selangor pada kiraan 1668 di Sukma Kedah 2006.

Sementara itu, Wahidah Ismail muncul sebagai wira Kedah selepas berjaya mengutip mata tertinggi dalam acara 25m pistol individu wanita dengan catatan 563 mata bagi membolehkannya mengutip emas dalam acara tersebut.

Bagi acara 25m pistol berpasukan wanita. gelaran juara menjadi milik trio dari Selangor dengan catatan 1632 mata yang mengenepikan hasrat pasukan pilihan Pahang untuk mencuri emas dengan kekurangan satu mata.

Laporan Oleh Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment