Monday, March 29, 2010

WORLD LASER 4.7 YOUTH CHAMPIONSHIP 2010

TARIKH : 31 MAC - 8 APRIL 2010
TEMPAT : PATTAYA, THAILAND
PESERTA : 2 ORANG ATLET SUKAN PELAYARAN




Salah seorang atlet Sukan Pelayaran Negeri Johor iaitu Muhammad Fazarikman Mohd Faudzi telah terpilih untuk mewakili Pasukan Perahu Layar Malaysia yang akan menyertai Kejohanan World Laser 4.7 Youth Championship 2010 yang akan diadakan pada 31 Mac hingga 8 April 2010 bertempat di Pattaya, Thailand.  Atlet yang turut menyertai kejohanan ini adalah Nurhafizan Bin Yusran dari Negeri Selangor. Untuk makluman semua, 2 orang atlet ini telah bertolak ke Thailand pada 28 Mac 2010 dan akan pulang ke tanah air pada 9 April 2010. Pihak USPTN Johor berharap dan berdoa untuk kejayaan adik Muhammad Fazarikman Mohd Faudzi sepanjang kejohanan tersebut.

Keputusan Rasmi :


Sekian, terima kasih.

PEMANTAUAN ISN DI TANJUNG LANGSAT BUAT KALI KE - 6

TARIKH : 28 MAC 2010
TEMPAT : PLN PELAYARAN TANJUNG LANGSAT, PASIR GUDANG
PESERTA : 3 PEGAWAI ISN & ATLET SUKAN PELAYARAN

Pada hari ahad yang lalu, 3 orang Pegawai ISN Satelit Larkin telah membuat pemantauan lanjut dan memberi perkhidmatan sains sukan kepada atlet Sukan Pelayaran di Tanjung Langsat sebagai persediaan SUKMA MELAKA yang akan datang ini. Laporan lanjut di http://isn-johor.blogspot.com/2010/03/sailing-here-we-come-siri-ke-6.html. Ribuan terima kasih diucapkan kepada Puan Nora, Cik Risnainy dan En. Najib.



Sunday, March 28, 2010

LAWATAN RASMI YB PENGERUSI JAWATANKUASA BELIA DAN SUKAN NEGERI JOHOR DAN PENGARAH MSNJ KE SEKOLAH SUKAN BANDAR PENAWAR

TARIKH : 23 MAC 2010
MASA : 2.30 PETANG
TEMPAT : SEKOLAH SUKAN BANDAR PENAWAR, KOTA TINGGI, JOHOR

Satu lawatan rasmi antara YB Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Johor, Tuan Haji Md. Jais Bin Sarday bersama Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Tuan Haji Ismail Bin Haji Abdul Rahman dengan atlet-atlet Sukma Negeri Johor telah diadakan pada 23hb Mac 2010 bertempat di Sekolah Sukan Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.

Sebelum lawatan dimulakan, satu mesyuarat diadakan terlebih dahulu dengan kehadiran Ketua Unit Sekretariat Sukma Johor 2010, Bahagian Atlet dan Sains Sukan, Bahagian Pembangunan, Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Johor, ISN Pusat Satelit Larkin, ISN SSBP serta beberapa kakitangan Majlis Sukan Negeri Johor. Pelbagai perkara yang telah dibangkitkan dalam mesyuarat ini terutama pembaikpulih peralatan dan kemudahan sedia ada yang telah rosak.

Lawatan dibuat selepas mesyuarat ditangguhkan. Antara tempat yang dilawati oleh YB Exco adalah Pusat ISN di SSBP, Gimnasium, Boling Padang, Tenpin Boling, Judo, Lawan Pedang, Berbasikal, Kolam Renang, Sepak Takraw, dan lain-lain. Di dalam perjumpaan ini, YB Exco turut menyampaikan amanah dan menasihati para atlet agar lebih fokus terhadap latihan masing-masing. Pengarah MSNJ turut memberikan kata-kata semangat kepada para atlet agar memberi persembahan yang terbaik di SUKMA MELAKA 2010 nanti. 

YB Exco dan Pengarah MSNJ bergambar bersama atlet-atlet berbasikal

Atlet Negeri Johor bagi Sukan Lawan Pedang menjalani latihan seperti biasa

Gelanggang Skuasy yang dibiarkan begitu sahaja kerana program sukan skuasy telah dibubarkan setelah Jurulatih dipindahkan ke Negeri Lain.

Thursday, March 25, 2010

KEJOHANAN PERAHU LAYAR TERBUKA KFC - PENANG SWIMMING CLUB REGATTA 2010

TARIKH : 26 - 28 FEBRUARI 2010
TEMPAT : PENANG SWIMMING CLUB, TG. BUNGAH, P.PINANG
PESERTA : 1 PENGURUS, 2 JURULATIH & 12 ATLET SUKAN PELAYARAN

Seramai 12 orang atlet telah menyertai Kejohanan Perahu Layar Terbuka KFC - Penang Swimming Club 2010 pada 26hb hingga 28hb Februari 2010 bertempat di Penang Swimming Club, Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Atlet-atlet ini berada dibawah seliaan Pengurus Pasukan iaitu En. Nordin serta jurulatih iaitu Noor Fadzley dan Yusof Ibrahim. 2 orang pegawai ISN dari Pusat Satelit Larkin turut serta dalam kejohanan bertujuan untuk pemantauan dan memberi perkhidmatan kepada atlet-atlet ketika bertanding iaitu Cik Risnainy dan Puan Nora.

Pasukan Perahu Layar bagi Pelapis Negeri Johor telah berjaya meraih 1 Perak dan 2 Gangsa dalam kejohanan tersebut. Di samping itu, atlet Negeri Johor yang berada dibawah Program Pelapis Kebangsaan turut berjaya meraih beberapa pingat dan agak cemerlang pada kejohanan kali ini. Saya berharap agar semua atlet dapat mengekalkan prestasi cemerlang ini sehingga SUKMA MELAKA pada bulan Jun ini. Walaupun serba kekurangan peralatan dalam sesi latihan, namun ini tidak menghalang jurulatih dan atlet dalam berusaha untuk mencapai keputusan yang baik dalam setiap kejohanan yang disertai. Tahniah kepada yang terlibat.

KEPUTUSAN

Saturday, March 20, 2010

KEM ORIENTASI SIRI 3, KONTINJEN SUKMA JOHOR 2010

TARIKH : 17 - 20 MAC 2010
TEMPAT : LA BELLA RESORTS, MERSING, JOHOR
PESERTA : 90 ORANG ATLET, 18 URUSETIA

Satu program Kem Orientasi Siri 3 bagi Kontinjen SUKMA JOHOR 2010 telah diadakan pada 17hb hingga 20hb Mac 2010 bertempat di La Bella Resorts, Mersing yang melibatkan lebih kurang 90 orang atlet iaitu Sukan Silambam, Kabaddi, Ping Pong, Tenis, Bola Keranjang, Bola Tampar, Bola Tampar Pantai dan Wushu.


Objektif kem ini diadakan adalah untuk memastikan pasukan Johor telah bersedia untuk menghadapi Temasya Sukan Malaysia pada 10 hingga 19 Jun 2010 di Melaka, meningkatkan lagi semangat sepasukan yang tinggi dan memupuk semangat setiakawan yang jitu dalam memberikan persembahan yang baik dan kejayaan bagi Negeri Johor.

Pelbagai program telah diadakan oleh Tuan Syed Abdul Rahman Bin Jaafar selaku Penyelaras Program / Aktiviti kem tersebut bagi membina semangat atlet-atlet yang terlibat serta dibantu oleh urusetia-urusetia dari Sekretariat SUKMA JOHOR MSNJ, USPTN JOHOR, ISN Larkin serta Perbadanan Stadium. Kehadiran Pengarah MSNJ iaitu Tuan Haji Ismail Bin Haji Abdul Rahman turut menaikkan semangat atlet-atlet dengan motivasi yang diberikan oleh beliau. 

Sekian, terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat.

Wednesday, March 10, 2010

MESYUARAT PERBINCANGAN KONTINJEN SUKMA JOHOR 2010 SUKAN MENEMBAK

TARIKH : 12 FEBRUARI 2010
TEMPAT : LAPANGSASAR MENEMBAK BATU PAHAT, JOHOR
PESERTA : YB SHAMSUL, PENGARAH MSNJ, USPTN JOHOR, SUKMA JOHOR, ISN LARKIN, JURULATIH & ATLET MENEMBAK

Satu mesyuarat / perbincangan SUKMA Johor 2010 diadakan di Lapangsasar Menembak Batu Pahat, Johor dengan kehadiran YB bersama Pengarah MSNJ serta KUN USPTN Johor, SDO, Sekretariat SUKMA Johor, KU ISN Larkin, para jurulatih dan atlet menembak. Pelbagai perkara telah dibincangkan terutama sekali berkenaan prestasi dan persediaan atlet untuk SUKMA MELAKA pada tahun ini, baik pulih lapangsasar, kerosakan senjata api dan kontrak JPM iaitu Subari Ariffin. Pengarah MSNJ turut mengambil kesempatan ini untuk sesi suai kenal atlet-atlet menembak, melihat program latihan yang dijalankan serta melihat kelengkapan senjata api yang akan digunakan pada SUKMA MELAKA nanti.

Perjumpaan bersama atlet-atlet menembak Negeri Johor

Tuesday, March 9, 2010

TAN SRI DATO S.M. YONG TROPHY / SPORT EXCEL 2ND JUNIOR SHOOTING CHAMPIONSHIPS

TARIKH : 4 - 7 MAC 2010
TEMPAT : LAPANGSASAR MENEMBAK KEBANGSAAN, SUBANG, SELANGOR
PESERTA : 13 ATLET & 3 JURULATIH

Seramai 13 orang atlet telah menyertai kejohanan tersebut dibawah seliaan jurulatih iaitu Nikolaev Victor dan Subari Ariffin. Pasukan Menembak Negeri Johor telah berjaya meraih 5 - Emas, 4 - Perak dan 7 - Gangsa secara keseluruhan. Di samping itu, Pasukan Menembak Negeri Johor telah menduduki tempat Naib Johan keseluruhan bagi Kategori Remaja Kebangsaan selepas Pahang. Seorang atlet menembak iaitu Muhammad Shahril Sahak berjaya memecahkan rekod peribadi beliau dan rekod kebangsaan. Ini merupakan kejayaan yang bermakna bagi atlet-atlet yang berlatih dibawah Program Pelapis Negeri Johor. Pihak USPTN Johor berharap agar dapat mengekalkan prestasi ini dan  mengucapkan tahniah atas kejayaan beliau serta atlet-atlet menembak yang lain.

Monday, March 8, 2010

KEJOHANAN TERBUKA SELANGOR / SPORT EXCEL 1ST JUNIOR SHOOTING CHAMPIONSHIPS

TARIKH : 4 - 7 FEBRUARI 2010
TEMPAT : LAPANGSASAR MENEMBAK SUBANG, SELANGOR
PERSERTA : 13 ATLET, 3 JURULATIH & SDO

Kejohanan Menembak Terbuka Selangor merupakan pembuka tirai kejohanan 2010 bagi Sukan Menembak. Seramai 13 orang atlet telah menyertai kejohanan tersebut bersama 3 orang jurulatih serta seorang SDO bagi memantau prestasi atlet-atlet ini. Pasukan Menembak Negeri Johor telah berjaya meraih 6 - Emas, 6 - Perak dan 8 - Gangsa secara keseluruhan. Pencapaian yang boleh dibanggakan, namun jurulatih berpendapat masih terlalu awal untuk dijadikan pengukur kejayaan Pasukan Menembak Negeri Johor untuk ke SUKMA MELAKA pada bulan Jun. Ini kerana masih ada beberapa negeri yang tidak menyertai kejohanan ini. Walau bagaimanapun, pihak USPTN Johor berharap agar atlet-atlet menembak ini dapat mengekalkan prestasi dan memperolehi kejayaan secara berterusan di setiap kejohanan. Tahniah atas kejayaan semua atlet dan kerjasama jurulatih.