Thursday, November 10, 2011

Program Mengenalpasti Bakat (TID) Sukan Spesifik Menembak Fasa 2/2011

TARIKH : 10 NOVEMBER 2011
TEMPAT : LAPANGSASAR MENEMBAK BATU PAHAT, JOHOR


Pada 10 November 2011, satu program TID Sukan Menembak 2011 telah diadakan bertempat di Lapangsasar Menembak Batu Pahat, Johor. Seramai 57 orang pelajar menyertai program ini diiringi guru-guru sekolah masing-masing. Turut hadir En. Abdul Razak Bin Ali wakil dari Pejabat Pelajaran Daerah Batu Pahat dan juga ibu bapa pelajar-pelajar bagi menyokong Program Pelapis Negeri Johor dalam mencungkil bakat-bakat baru dalam Sukan Menembak Negeri Johor.

Beberapa ujian dijalankan oleh Jurulatih-jurulatih iaitu En. Subari Ariffin, En. Mohd Nasir Ramli dan juga En. Saadon kepada para pelajar. Pada TID kali ini lebih fokus kepada ujian stimulator, pemahaman dan kecekapan mata. Jurulatih memaklumkan ujian-ujian yang dijalankan adalah sumber dari pengalaman bekas JLN - Nikolaev Victor sepanjang dalam Sukan Menembak. Walaupun, bilangan pelajar yang menyertai kurang berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun saya berharap agar pelajar-pelajar yang terpilih lebih berkualiti. 

Ucapan terima kasih diberikan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Batu Pahat dan ibu bapa yang sudi hadir serta menyokong program ini sepenuhnya. Dengan penglibatan sepenuhnya dari PPD Batu Pahat, diharap akan lebih terancang pelaksanaan Sukan Menembak di Negeri Johor. Sekian, terima kasih.



Sunday, October 23, 2011

MESYUARAT JKK SUKAN MENEMBAK BIL 01/2011

TARIKH : 20 OKTOBER 2011
TEMPAT : LAPANGSASAR MENEMBAK BATU PAHAT, JOHOR


Satu Mesyuarat JKK Sukan Menembak Bil 01/2011 diadakan pada 20hb Oktober 2011 dan dipengerusikan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor. Mesyuarat JKK ini dilaksanakan agar dapat memastikan pembangunan sukan di peringkat Negeri dijalankan secara teratur dan sistematik. 

Pelaksanaan JKK Sukan Menembak kali ini adalah antara Majlis Sukan Negeri Johor, Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Johor dan PPN (Cawangan Pelapis MSNM), Persatuan Menembak Johor, Jabatan Pelajaran Negeri Johor dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor serta jurulatih-jurulatih yang dilantik. Dengan melalui kerjasama ini, segala program-program latihan, penyertaan kejohanan dan perancangan akan datang dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan terancang bagi melahirkan atlet-atlet muda yang berbakat dan komited di setiap peringkat.

Pelbagai perkara yang dibentangkan dan dibincangkan dalam mesyuarat JKK tersebut. Antaranya adalah :

1. Mengkaji semula program latihan tahunan sukan menembak dari aspek teknikal agar lebih terancang. Manakala pemantauan akan dibuat dari masa ke semasa oleh PPN.

2. Perlantikan jurulatih yang berkelayakan. Pihak USPTN Johor ingin memohon lantikan semula JLN - Nikolaev Victor dari pihak MSNM. 

3. Perancangan pertandingan yang diselaraskan dengan kejohanan peringkat kebangsaan beserta amplikasi kewangan yang telah diperuntukan sepanjang 2011.

4. Penilaian prestasi atlet, jurulatih dan PLN dibuat berdasarkan laporan-laporan bulanan serta pemantauan PPN. Jurulatih dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti dan mencadangkan atlet-atlet yang berpotensi bagi program akan datang.

5. Permasalahan PLN turut dibincangkan dalam mesyuarat JKK ini. Antaranya kerosakan sistem sasaran, baikpulih sistem sasaran,  kerosakan senjata api serta kekurangan aksesori tambahan bagi sukan menembak. Perkara ini diambil berat oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor kerana perlu persediaan awal bagi menghadapi SUKMA 2012 di Pahang nanti.

6. PPN memaklumkan program  TID sedang dijalankan dalam tempoh bulan Oktober ini. Manakala, Fasa 2 akan diadakan pada 10 November 2011. 




  Atlet yang hadir menjalani latihan sewaktu mesyuarat JKK diadakan iaitu adik Elaine & Yvonne Ong.

Saturday, October 22, 2011

Laporan TID Sukan Menembak - SK. Lim Poon 1 & 2, Batu Pahat

TARIKH : 19 OKTOBER 2011
TEMPAT : SK. LIM POON 1 & 2, BATU PAHAT, JOHOR

Pada 19hb Oktober 2011, jurulatih telah membuat sesi pemilihan bagi program TID Sukan Menembak Fasa 1 bertempat di SK. Lim Poon 1 di sesi pagi manakala SK. Lim Poon 2 di sesi petang. Pada kali ini, jurulatih memaklumkan terlalu ramai pelajar perempuan yang terpilih manakala pelajar lelaki agak kurang kerana faktor fizikal yang tidak sesuai dengan sukan menembak.

Namun, jurulatih tetap tidak putus asa untuk menjalankan program ini bagi pencarian bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan bagi mewakili Negeri Johor pada masa akan datang. Program ini perlu dijalankan setiap tahun agar tiada berlakunya kekurangan atlet kerana untuk mengekalkan dan melahirkan seseorang penembak terbaik memerlukan jangka masa yang lama untuk menonjolkan kebolehan mereka.

Gambar-gambar sepanjang program dijalankan :





Terima kasih kepada jurulatih-jurulatih yang menjalankan program tersebut.

Saturday, October 15, 2011

Laporan Program TID Sukan Menembak - SK. Tengku Mariam, Batu Pahat

PROGRAM MENGENALPASTI BAKAT (TID) SUKAN MENEMBAK
TEMPAT : SK. TENGKU MARIAM, BATU PAHAT
TARIKH : 14 OKTOBER 2011

Pada 14 Oktober 2011, jurulatih-jurulatih telah membuat pemilihan program TID Sukan Menembak Fasa 1 di SK. Tengku Mariam, Batu Pahat. Sekolah ini merupakan sekolah bagi pelajar-pelajar perempuan dan buat kali kedua sekolah ini terpilih untuk mengikuti program TID ini selepas tahun 2010.

Sambutan yang diberikan oleh pihak sekolah amat membanggakan kerana mendapat bantuan sepenuhnya dari pihak Jabatan Pelajaran Daerah Batu Pahat selepas pihak PPD menganjurkan pengenalan Sukan Menembak di Lapangsasar Menembak Batu Pahat, Johor pada 24 September 2011 yang lalu. Pihak USPTN Johor berharap agar lebih banyak jabatan-jabatan serta sektor-sektor lain turut berminat dan membantu bagi membangunkan Sukan Menembak Negeri Johor. Sekian, terima kasih.

 Pemilihan peserta-peserta di setiap kelas

 Penerangan awal berkenaan Sukan Menembak

 Peserta-peserta mengisi borang dan menjawab beberapa soalan yang disertakan

Antara peserta-peserta yang mengikuti program TID Sukan Menembak ini

Pemantauan PLN Sukan Skuasy - JGCC, Johor Bahru

TARIKH : 13 OKTOBER 2011
TEMPAT : JOHOR GOLF COUNTRY CLUB, JOHOR BAHRU

Satu pemantauan dibuat oleh PPN ke PLN Sukan Skuasy yang bertempat di Johor Golf Country Club, Johor Bahru pada 13 Oktober 2011 jam 4.00 petang. Seramai 8 orang atlet hadir untuk menjalani sesi latihan seperti biasa yang dikendalikan oleh JSM Nur Aziah Omar dan dibantu oleh jurulatih En. Zuhaili Hj. Sawal iaitu jurulatih MSSJ. Pada kali ini kehadiran agak memuaskan dari sebelum ini kerana atlet-atlet ramai terlibat dengan peperiksaan. 

Sepanjang latihan diadakan beberapa perkara telah dibincangkan berkenaan klinik sukan skuasy yang akan diadakan dalam hujung tahun ini sebelum cuti persekolahan. Namun, terikh belum dapat ditetapkan lagi oleh jurulatih dan PPN. Manakala, jurulatih memerlukan peralatan latihan asas seperti bola dan raket tambahan untuk sesi latihan bagi atlet-atlet yang baru ingin menjalani latihan selepas pemilihan TID April lalu. Ini kerana kebanyakan bola dibeli oleh jurulatih sendiri. 

Bagi bayaran gelanggang skuasy, pihak USPTN Johor mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Manjit dari Johor Golf Country Club kerana tidak mengenakan bayaran sewaan gelanggang kepada Sukan Skuasy Negeri Johor buat masa ini. Pihak JGCC sedia maklum akan latihan kami diadakan pada setiap hari Selasa, Khamis & Sabtu. Pihak USPTN Johor berharap agar kerjasama dengan pihak JGCC dapat dikekalkan bagi pembangunan Sukan Skuasy Negeri Johor.



Tuesday, October 11, 2011

Program Mengenalpasti Bakat (TID) Sukan Spesifik Menembak Fasa 1 / 2011

Program Mengenalpasti Bakat (TID) Sukan Spesifik Menembak Fasa 1
Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Johor

Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Johor dibawah Program Pelapis Negeri Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara Malaysia dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Johor akan menganjurkan Program Mengenalpasti Bakat (TID) Sukan Spesifik Menembak yang melibatkan pelajar yang berumur 12 tahun lepasan UPSR pada 12 Oktober hingga 2 November 2011 bertempat di 9 buah sekolah  daerah Batu Pahat, Johor sepertimana berikut :

BIL
SEKOLAH
TARIKH
1
SK. Bukit Soga, Batu Pahat
12 Oktober 2011
2
SK. Convent, Batu Pahat
13 Oktober 2011
3
SK. Tengku Mariam, Batu Pahat
14 Oktober 2011
4
SK. Lim Poon 1, Batu Pahat
19 Oktober 2011
5
SK. Lim Poon 2, Batu Pahat
20 Oktober 2011
6
SK. Temenggung Ibrahim, Bt. Pahat
21 Oktober 2011
7
SK. Bandar, Batu Pahat
27 Oktober 2011
8
SK. Monfort, Batu Pahat
28 Oktober 2011
9
SK. Banang Jaya, Batu Pahat
2 November 2011

Pogram TID Fasa 2 bersama ISN Kuala Lumpur akan dijalankan pada 10 Oktober 2011 bertempat di Lapangsasar Menembak Batu Pahat, Johor nanti. Pihak Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Johor berharap agar lebih ramai yang akan menyertai program TID kali ini. Sekian, terima kasih.

Sunday, October 2, 2011

PEMANTAUAN PLN MENEMBAK

TARIKH : 30 SEPTEMBER 2011
TEMPAT : LAPANGSASAR MENEMBAK BATU PAHAT, JOHOR

Pada jam 8.30 pagi bertarikh 30hb September 2011, SDO membuat pemantauan di Lapangsasar Menembak Batu Pahat, Johor. Beberapa perbincangan dibuat bersama jurulatih-jurulatih Pelapis Negeri dan juga SUKMA Johor 2012 sebelum ketibaan En. Giam Fook Pang (Pengurus Sukan Pelapis Negeri, Cawangan Pelapis MSNM) bersama En. Hafiszal Tukemin (KUN USPTN Johor). Kedua-duanya tiba lewat pada jam 12.30 hari selepas memantau PLN Sukan Gimrama terlebih dahulu.

Sepanjang pemantauan, Jurulatih En. Subari memaklumkan beberapa perkara yang perlu dibincangkan bersama MSNM berkenaan keperluan peralatan senjata api, aksesori, naiktaraf lapangsasar dan juga perlantikan semula JLN Mr. Nikolaev Victor. Manakala, kehadiran atlet agak memuaskan walaupun kehadiran mereka berperingkat kerana lapangsasar ini sentiasa dibuka mulai jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang. Ini kerana tiada masa ditetapkan kepada atlet-atlet bagi memudahkan mereka hadir selepas aktiviti sekolah ataupun selepas tuisyen. Jurulatih memaklumkan bahawa ada beberapa orang atlet wanita yang boleh diketengahkan untuk acara rifle buat pertama kali bagi Negeri Johor. PPN sempat berbual akan perkara ini bersama atlet-atlet tersebut dan berharap agar mereka akan terus kekal dalam acara ini.

Jurulatih memaklumkan tarikh-tarikh TID yang akan dijalankan sepertimana tahun 2009 dan 2010 yang lalu. Pada kali ini 9 buah sekolah telah ditetapkan untuk proses pemilihan awal sebelum pemilihan secara spesifik oleh pihak ISN Kuala Lumpur. Pihak USPTN Johor berharap agar segala program yang dirancang dari awal tahun dapat dianjurkan dengan baik.


 
  Tunjuk ajar dari Jurulatih

Pada jam 12 tengahari, KUN USPTN Johor & Pengurus Sukan Pelapis Negeri tiba di lapangsasar sewaktu sesi latihan selesai